RM55b » RM70b » RM81b. Kos sebenar boleh berubah-ubah mengikut kehendak Menteri Kewangan Malaysia Baharu.

Kos ECRL cecah RM81 bilion: Guan Eng

PUTRAJAYA - Kos pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sebenarnya memakan belanja RM81 bilion selepas mengambil kira kos pengambilan tanah, faedah, yuran dan kos operasi lain termasuk kupon sukuk.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kos asas pembinaan landasan kereta api itu berjumlah RM66.78 bilion namun apabila ditambah kos lain, jumlahnya meningkat hampir RM15 bilion.

Guan Eng dalam kenyataannya hari ini memaklumkan jumlah tersebut belum mengambil kira kos defisit operasi yang masih belum ditentukan nilainya buat masa sekarang.
“Kami menjangkakan projek ECRL hanya akan menjadi berdaya maju daripada segi kewangan dan ekonomi jika terdapat pengurangan harga projek secara signifikan oleh China Communication Construction Company (CCCC).
“Perbincangan kos (pengurangan kos pembinaan) akan diadakan juga dengan pihak kontraktor dan pihak lain yang terlibat dalam projek tersebut. Sehingga kini, kerajaan menerusi Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) telah membayar sejumlah RM19.68 bilion.
“Jumlah itu terdiri daripada bayaran pendahuluan (RM10.02 bilion) dan bayaran kemajuan (RM9.67 bilion). Bon bayaran pendahuluan boleh ditebus semula, dalam erti kata lain kerajaan boleh mendapatkan semula RM10.02 bilion jika ada senario buruk berlaku,” katanya.
Tambah beliau, pada asalnya kos ECRL berjumlah RM46 bilion dan ia melibatkan pembinaan satu laluan rel dari Terminal Bersepadu Gombak (ITT) di Selangor ke Wakaf Bharu di Kelantan.
Begitupun, perjanjian tambahan dengan CCCC untuk melaksanakan Fasa ke-2 projek dari ITT Gombak ke Pelabuhan Klang menyebabkan kos pembinaan projek itu meningkat sehingga RM9 bilion.
“Pada 3 Mei 2017, Kabinet meluluskan projek menyambung rel landasan dari Wakaf Bharu ke Pengkalan Kubor (peningkatan kos RM1.28 bilion). Pada 23 Ogos 2017, projek menaik taraf ECRL kepada projek landasan berkembar diluluskan (peningkatan kos RM10.5 bilion).
“Berdasarkan nilai-nilai harga projek tersebut, kos asas pembinaan landasan keretapi sepanjang 688.3 kilometer itu berjumlah RM66.78 bilion,” ujarnya.
[ARTIKEL BERKAITAN : ECRL diteruskan namun bersyarat]
Dalam perkembangan lain, Guan Eng berkata Kerajaan Persekutuan akan berbincang dengan Kerajaan Negeri Selangor tentang kebaikan atau keburukan projek ECRL hanya selepas terdapat pengurangan harga yang signifikan dalam pembinaan projek mega itu.
Menurutnya, kerajaan memberi perhatian terhadap bantahan mereka terhadap projek itu terutamanya melibatkan pembinaan landasan dari ITT Gombak ke Pelabuhan Klang.
[ARTIKEL BERKAITAN : Projek ECRL caca marba!]
“Bantahan mereka berdasarkan prinsip permohonan mereka mendapatkan status Tapak Warisan Dunia bagi permatang kuartza terpanjang dunia di Klang. Sambungan landasan ECRL tentu akan menggagalkan usaha Kerajaan Negeri Selangor.
“Bila ada pengurangan kos, kita akan berbincang perkara ini dengan mereka tentang kebaikan dan keburukan ECRL berbanding kebarangkalian penyenaraian kawasan itu sebagai Tapak Warisan Dunia,” ujarnya.

Comments